Kemudahan asas bandar dan luar bandar jadi keutamaan: Hajiji

Kemudahan asas bandar dan luar bandar jadi keutamaan: Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memberikan keutamaan kepada penyediaan kemudahan asas yang mencukupi kepada rakyat tidak kira di kawasan bandar atau luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), baik dibiayai oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan sedang dilaksanakan.

Menurutnya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini bagi mengatasi isu bekalan air di negeri Sabah melibatkan peruntukkan RM300.25 juta melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) merangkumi 20 projek keutamaan untuk mengurangkan Non Revenue Water (NRW).

“Selain itu, penambahan kapasiti Loji Rawatan Air Kogopon, Papar iaitu daripada 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 juta liter sehari (JLH) yang dijadualkan siap pada Ogos 2026 adalah dijangka akan menyelesaikan isu bekalan air di kawasan selatan Kota Kinabalu seperti Putatan, Kinarut dan Papar.

“Kerajaan Negeri juga sedang menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan (FS) untuk pembinaan empangan hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom dan empangan di Kaiduan, Papar.

“Sekiranya kedua-dua projek berimpak besar ini direalisasikan kelak, ia mampu menampung keperluan untuk 100 tahun bagi Utara, Tengah dan Selatan Kota Kinabalu termasuklah Pedalaman Bawah iaitu dari Kimanis, Bongawan, Membakut, Kuala Penyu, Menumbok, Sipitang dan kawasan perindustrian Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) dengan pelaksanaan secara berperingkat Loji Rawatan Air Fasa I untuk keperluan sehingga 2050,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan keutamaan yang diutarakan ADUN Nawaban, Datuk Ghani Mohamed Yassin dalam Sidang DUN Sabah, hari ini.

Ghani pada sesi berkenaan telah melanjutkan pertanyaan sama ada kerajaan telah merangka strategi jangka masa pendek atau pelan tindakan yang berkesan untuk dilaksanakan dalam usaha menangani dan menyelesaikan masalah prasarana dan infrastruktur keperluan asas rakyat seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri kini juga meningkatkan keupayaan bekalan elektrik di Sabah selain pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

“Antara inisiatif yang kita jalankan adalah Pembangunan Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 atau SE-RAMP 2040) yang telah dilancarkan pada 19 September lalu.

“Selain itu, kita juga telah membina Stesen Jana kuasa Bebas (IPP) Ranhill Sabah Energy (RSE) 3 di Kimanis yang berkapasiti terpasang 100 megawatt (MW) di mana ia bakal mengawal selia bekalan elektrik yang berkuat kuasa pada 3 Januari 2024, inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata, untuk aspek pembangunan infrastruktur jalan raya, Kerajaan Negeri juga komited untuk menyelesaikan proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan jajaran 366 kilometer melibatkan kos RM15.7 bilion dalam tahun ini.

“Setakat ini Surat Setuju Terima (SST) bagi empat (4) daripada baki 19 pakej kerja tersebut iaitu WP12, WP13, WP14 dan WP16, akan dikeluarkan sebelum penghujung tahun 2023.

“Manakala, SST bagi baki 15 pakej kerja disasarkan untuk dikeluarkan selewat-lewatnya menjelang bulan Mac 2024,” katanya.

Jelas beliau lagi, selain projek-projek yang telah saya sebutkan tadi, antara projek-projek infrastruktur lain yang sedang dalam pelaksanaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuklah projek-projek Loji Rawatan Kumbahan (LRK), Program Jalan Luar Bandar (JALB), Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Program Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|