UCSF juara keseluruhan sukan IPTS, Mahasiswa 2023

UCSF juara keseluruhan sukan IPTS, Mahasiswa 2023

KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) muncul sebagai johan keseluruhan Kejohanan Sukan Antara IPTS Zon Sabah (MASISWA 2023) setelah menenangi 5 pingat emas, 3 pingat perak dan 2 pingat gangsa.

Cyberjaya College Kota Kinabalu menduduki tempat kedua keseluruhan dan tempat ketiga disandang oleh Cosmpoint College.

Sebanyak 17 buah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menyertai Sukan MASISWA yang berlangsung dari 29 November hingga 2 Disember (hari ini).

Sebanyak 9 acara sukan dipertandingkan iaitu Futsal, Bola Tampar, Badminton, Bola Jaring, E-Sport, Catur, Petanque dan Aerodance bagi merebut sebanyak 21 pingat emas.UCSF merupakan tuan rumah kejohanan sukan MASISWA yang berlangsung selama 4 hari itu dan disertai oleh kira-kira 1500 atlit.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Canselor UCSF telah merasmikan penutupan Sukan MASISWA 2023 di kampus UCSF Sembulan pada Sabtu.

Hajiji dalam ucapannya menekankan pentingnya aktiviti sukan untuk kesihatan selain dapat memupuk perpaduan serta kerja berpasukan.

Beliau turut menerangkan IPTS penting dalam proses pembangunan modal insan yang berkualiti bagi membantu membangunkan negeri Sabah.

Katanya, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu pelajar Sabah untuk melanjutkan pengajian selepas sekolah menengah seperti bantuan kewangan one off RM1500 kepada pelajar yang mendaftar bagi program diploma, Foundation dan matrikulasi dan RM2000 untuk pelajar yang mendaftar bagi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada UCSF selaku tuan rumah kejohanan sukan itu dan semua atlit serta IPTS yang menyertai Kejohanan Sukan MASISWA kali ini. Sementara itu, Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris berkata, semua atlit IPTS yang mengambil bahagian pada Sukan MASISWA telah memberikan saingan yang sengit dan hebat dan menyebutkan semua IPTS memang hebat.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali dan Pengarah Yayasan Sabah yang juga Pro-Canselor UCSF, Dato Sri Gulamhaidar Khan Bahadar.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|