Tuduhan Warisan berkaitan interim pemberian khas kepada Sabah tidak berasas

Tuduhan Warisan berkaitan interim pemberian khas kepada Sabah tidak berasas

Tawau: Tuduhan Parti Warisan (WARISAN) yang mengatakan Kerajaan Negeri sebagai pengkhianat kerana bersetuju dengan penyelesaian interim pemberian khas adalah tidak berasas dan mengelirukan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak) dan Tugas-tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, malah, pemberian khas dari Kerajaan Persekutuan yang diterima kini adalah lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun lalu, Sabah menerima pemberian khas itu sebanyak RM125 juta berbanding jumlah asal hanya RM26 juta.

“Penyelesaian interim yang diterima oleh Kerajaan Negeri dan semua itu dibuat secara bertulis.

“Jadi yang disebut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai pengkhianat kerana menerima penyelesaian RM125 juta tersebut seolah-olah kita menafikan bersetuju untuk tidak lagi memperjuangkan hak kita 40 peratus tidak betul kerana penyelesaian bertulis kita sebutkan secara jelas 40 peratus tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa jumlah tersebut akan ditingkatkan kepada RM300 juta dan akan meningkat setiap tahun.

Ujarnya, hasil yang diterima Kerajaan Negeri kini dapat membantu rakyat dengan menyediakan sebanyak 3,000 unit rumah SMJ dalam tempoh dua tahun.

“Itu yang tengah kita usaha supaya warta baru dikeluarkan pada tahun ini bahawa Sabah akan menerima jumlah RM300 juta dan akan meningkat setiap tahun.

“Bagi rumah, setiap tahun kita akan dapat 1,500 maksudnya 3,000 rumah mesra SMJ akan dibuat, PPRT model Sabah dimana orang miskin akan dapat.

“Jadi saya mahu tanya, jika Ketua Menteri dan kerajaan GRS dalam tempoh dua tahun memerintah boleh memberi 3,000 rumah SMJ kepada orang miskin di Sabah, dalam masa dua tahun Warisan memerintah dengan retoriknya berapa buah rumah yang mereka mampu bagi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi taklimat kepimpinan GRS di dewan sebuah hotel di Tawau, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau meminta supaya Kerajaan Negeri dapat menurut taraf (declassify) di bawah Akta Rahsiah Rasmi 1972 surat kerajaan negeri Warisan kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun 2019 tersebut daripada pengelasan sulit kepada terbuka.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang dan ADUN Kukusan, Rina Jainal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|