PKR Sabah sasar tanding 25 kerusi PRN17

PKR Sabah sasar tanding 25 kerusi PRN17

Sandakan: Parti Keadlian Rakyat (PKR) Sabah mensasarkan bertanding satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 25 Parlimen di Sabah, pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kelak.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasah berkata, sasaran berkenaan diletakkan kerana tidak mahu Sabah seakan-akan tersisih.

Menurut beliau, jika dilihat, PKR Sabah agak kurang kerusi di DUN Sabah, antaranya di kawasan Sandakan yang tidak mempunyai seorang pun wakil rakyat yang dipertandingkan bagi kawasan DUN.

“Pimpinan MPS PKR Negeri mengharapkan setiap tempat kami akan menempatkan wakil-wakil dalam PRN akan datang untuk menentukan PKR ini tidak akan tersisih di mana-mana tempat pun.

“Dengan itu, kami menentukan setiap Parlimen kami minta supaya sekurang-kurangnya satu DUN kita akan tempatkan di setiap satu Parlimen…di seluruh Sabah.

“Harapan kami, dalam perancangan yang sedang berjalan ini kami akan mengadakan mesyuarat di setiap zon,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Temu Rapat Pimpinan Keadilan Sabah di Sandakan, semalam.

Menurut beliau, pihaknya akan berbincang lanjut perkara berkenaan dengan komponen parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah.

“Kuota-kuota untuk bertanding ini sebenarnya akan dibincang diperingkat PH, maka dengan itu kita mengharapkan rakan-rakan kita juga bersetuju supaya kita mengagihkan kerusi berdasarkan kepada keperluan dimana parti komponen kita juga merestui disebabkan oleh kepentingan masing-masinglah,” katanya.

Justeru itu, pihaknya berharap agar komponen-komponen dalam PH kelak dapat bersetuju dengan sasaran berkenaan.

Untuk rekod, pada PRN-16, PKR hanya bertanding di 14 kerusi DUN daripada 73 kerusi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|