Tiada SOP tambahan terhadap pengunjung dari China datang ke Sabah

Tiada SOP tambahan terhadap pengunjung dari China datang ke Sabah

Kota Kinabalu: Tiada prosedur operasi standard (SOP) tambahan dikenakan terhadap pengunjung dari China selain menunjukkan keputusan negatif ujian PCR Covid-19 dan sudah lengkap vaksinasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan itu bagi memastikan kelancaran kemasukan pengunjung China ke negeri ini sejajar pembukaan sempadan negara itu bermula 8 Januari lalu.

Huang Shi-Fang menyampaikan cenderahati kepada Tun Juhar sambil diperhatikan Hajiji di SICC, Kota Kinabalu.

“Dengan sempadan China dibuka secara rasmi tiga hari lalu pada 8 Januari, kita mengalu-alukan pengunjung China untuk sekali lagi datang ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shi-Fang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC), di sini, malam tadi.

Tun Juhar bersama Hajiji dan Huang Shi-Fang menggaul Yee Sang pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hajiji berkata, Sabah juga mahu melihat lebih banyak kemasukan pelaburan dari China sejajar kerjasama ekonomi dan perdagangan di antara negeri ini dan China yang terus berkembang.

“China menjadi jiran kita yang baik. Ketika masa yang sukar dan ketika pandemik memuncak, kerajaan China melalui Konsulat China di sini menyalurkan pelbagai bantuan kepada Sabah, khususnya perubatan dan kita sangat berterima kasih.

“Hubungan yang baik di antara dua negara sentiasa dalam keadaan baik. Sabah dan China saling menerima manfaat antara satu sama lain dan kita berjaya mendapat manfaat daripada kerjasama dan pertukaran dalam pelbagai bidang,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata di Sabah dan seluruh negara, rakyat merayakan Tahun Baharu Cina, bukan saja yang berketurunan Cina malah semua komuniti pelbagai kaum dan budaya.

“Ketika perayaan ini, kita merayakannya bersama. Rakyat pelbagai etnik turut serta dalam perayaan, mencerminkan kesatuan dalam kepelbagaian masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

“Berdasarkan Zodiak Cina, tahun ini adalah tahun arnab. Arnab dikaitkan dengan keamanan, kemakmuran dan panjang umur selain menjanjikan harapan sepanjang tahun sejajar dengan usaha kita untuk keluar daripada cabaran pandemik yang melanda sejak dua tahun lalu.

“Saya menekankan dalam mesej Tahun Baharu 2023 bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dan kita mesti melihat ke hadapan menumpukan pemulihan ekonomi dan melaksanakan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|