Terapung berpaut pada tong ikan selama lima jam

Terapung berpaut pada tong ikan selama lima jam

Kudat: Seorang nelayan ditemukan selamat selepas menempuh detik cemas terapung dengan berpaut pada tong ikan selama lebih lima jam apabila bot dinaikinya karam akibat terlanggar batu di perairan Tajau Laut, di sini, semalam.

Mangsa Abd Rahman Tumai, 54, berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 2 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat menerima panggilan kecemasan bot karam di perairan berkenaan pada 11.14 pagi.

“Menurut pemanggil terdapat seorang mangsa terbabit selepas bot mangsa telah karam akibat terlanggar batu ketika dalam perjalanan balik ke rumah dari aktiviti nelayan.

“Seterusnya pasukan bomba bersama agensi bantuan menjalankan operasi mencari mangsa dengan kaedah surface rescue dengan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa ditemui oleh Maritim Malaysia di lokasi satu batu nautika dari pantai dalam keadaan terapung berpaut pada tong ikan.

“Mangsa yang dilaporkan dalam keadaan selamat kemudian dibawa ke pantai bersama bot mangsa dengan bantuan orang kampung dan pihak Maritim Malaysia.

“Seterusnya pasukan bomba membantu menghantar mangsa ke rumahnya di Kampung Gumpa dan operasi ditamatkan pada 2 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|