Kota Kinabalu: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah hari ini melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Deepavali tidak lama lagi.
Menurut Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas, skim berkenaan berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 15 November hadapan dengan menumpukan kestabilan harga barangan sepanjang musim perayaan itu selain memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.
“Pelaksanaan skim ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang langkah Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.
“Antara senarai barangan harga terkawal SHMMP Deepavali 2023 adalah seperti; Daging Kambing Biri-Biri Bertulang Import, tomato, cili merah, bawang merah kecil (India), bawang merah besar import, kacang dal (Australia), kelapa biji dan kelapa parut,” katanya.
Jelas beliau, Sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023, adalah menjadi kewajipan peniaga untuk mematuhi peraturan berikut seperti menjual barangan harga terkawal tidak melebihi hargamaksimum yang ditetapkan; meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain dan mempamerkan tanda harga ke atas semua barangan yang dijual.
“Selain itu juga, para peniaga turut diminta mengikut ketetapan seperti memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran; dan mengguna alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan.
“Anggota Penguat Kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Deepavali 2023 serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran SHMMP Deepavali 2023 di Pasaraya Emart Lintas Jaya, Kota Kinabalu pada hari ini.
Mengulas lanjut, Georgie berkata, Berdasarkan statistik pemeriksaan di bawah SHMMP (Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa, dan Pesta Kaamatan) yang telah dilaksanakan sepanjang tahun ini, sebanyak 3,521 premis telah diperiksa di seluruh Sabah dan empat kes dihasilkah atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan nilai kompaun sebanyak RM700dan nilai rampasan sebanyak RM684.60.
“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Deasoka