SESB pantau bekalan berikutan banjir di utara Sabah

SESB pantau bekalan berikutan banjir di utara Sabah

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) siap siaga memantau bekalan elektrik di daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas berikutan banjir yang melanda ketiga-tiga kawasan itu sejak Rabu.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor berkata pasukan teknikal SESB bersiap sedia 24 jam secara bergilir untuk memastikan keadaan terkawal di semua pepasangan milik SESB.

Beliau berkata SESB telah menutup 22 pencawang elektrik di daerah Pitas bagi menjaga keselamatan awam.

“Penutupan ini secara tidak langsung menjejaskan bekalan ke Kampung Bawang dan beberapa kampung sepanjang Jalan Kanibungan di daerah itu.

“Bekalan elektrik ke daerah Kudat dan Kota Marudu pula masih terkawal.

“SESB juga memastikan semua aduan yang diterima daripada pengguna di kawasan terjejas dapat ditangani dengan baik apabila keadaan selamat untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, SESB menerima banyak aduan sejak semalam yang melibatkan pokok atau talian tumbang dan pasukan SESB sedang berusaha untuk memperbaiki.

Bagaimanapun, beliau berkata kerja-kerja membaik pulih bekalan dijangka mengalami kelewatan disebabkan beberapa jalan perhubungan di daerah tidak dapat dilalui akibat banjir selain perlu mengambil kira faktor keselamatan serta cuaca yang tidak mengizinkan.

Beliau juga menasihatkan pengguna melaporkan segera jika ada kecemasan seperti wayar putus, tiang elektrik tumbang dan pokok tumbang ke atas talian elektrik.

Pengguna katanya boleh menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau whatsapp 019- 8525427.

Idris turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengalihkan wayar atau kabel SESB yang jatuh kerana dikhuatiri ada yang bocor dan masih mengalirkan arus elektrik yang boleh menyebabkan renjatan apabila disentuh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|