Tawau: Hujan lebat hampir lima jam bermula jam 6 petang semalam, menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang terjejas iaitu Kampung Rawa-Rawa, Batu 4, Batu 2 Apas, Sin On dan Tanjung Batu Keramat.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau, Japli Siping berkata, pihaknya menggerakkan dua jentera bersama dua bot APM dengan kekuatan seramai 25 anggota untuk pemantauan dikawasan yang dikenalpasti berisiko ditenggelami air.
Katanya, air laut pasang dengan ketinggian 3.2 meter pada 9 malam tadi turut menyebabkan air mengalir perlahan sekali gus mengakibatkan air cepat naik khususnya dikawasan sungai di Kampung Tanjung Batu Keramat.
“Kita tidak menjangka banjir ini sebab kebetulan hujan lebat lebih kurang lima jam ditambah dengan keadaan air laut pasang yang mencecah 3.2 meter.
“Mungkin itu salah satu sebab air tidak mengalir dengan baik kerana air sungai bertembung dengan paras air laut di kawasan laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sehingga jam 11 malam tadi, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Masjid Al-Mukarramah yang menempatkan 20 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 100 mangsa yang semuanya dipindahkan dari Kampung Tanjung Batu Keramat.
Operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
-Deasoka