Pitas: “Saya tidak menyangka air naik begitu cepat dan arusnya pula deras. Semua jualan sayur musnah,” kata peniaga sayur Jaisah Ingkal, 72, dari Kampung Taka.
Mangsa banjir itu berkata, dalam keadaan kelam kabut, dia bersama beberapa peniaga lain kemudian bergegas untuk pulang ke rumah namun air mulai naik ke halaman rumahnya.
Jaisah berkata, kejadian kira-kira 6 petang, Selasa lalu itu, dia dan beberapa jiran diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas 2.
“Saya tidak dapat menyelamatkan harta benda dan dokumen penting kerana tidak sempat naik ke rumah. Anak dan menantu serta enam cucu juga bergegas keluar menyelamatkan diri.
“Ketika berada di PPS SK Pekan Pitas 2, saya dimaklumkan oleh pasukan penyelamat air mencecah paras tingkap rumah,” katanya ketika ditemui di PPS Pekan 2, semalam.
Menurutnya, kampung berkenaan seringkali dilanda banjir tetapi tidak seteruk kali ini.
“Banjir tidak pernah seteruk ini hingga rumah hampir tenggelam. Semua harta benda, dokumen dan pakaian musnah.
“Harap kerajaan dapat membantu kami sekeluarga yang terjejas teruk akibat bencana banjir,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Zamnizah Zaib, 35, berkata kejadian banjir kali ini berlaku secara mendadak menyebabkan banyak barang tidak dapat diselamatkan.
“Banjir berlaku setiap tahun, lagi-lagi rumah kami berdekatan dengan tebing sungai. Cuma kali ini tidak dijangka ia terlampau dalam dan air mendadak naik.
“Nasib baik ketika berlaku banjir, suami ada di rumah dan membantu saya yang sedang mengandung enam bulan bersama anak keluar dari rumah ke PPS menggunakan bot,” katanya dari Kampung Pengkalan Ferry.
Menurutnya, banjir itu menyebabkan rumahnya di Kampung Pengkalan Ferry hampir ditenggelam.
“Semalam suami ada balik ke rumah dan keadaan teruk serta banyak barang yang rosak,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran Pitas, Marck@Hassan Libau berkata, hampir 2,000 penduduk membabitkan 31 kampung di daerah ini dilaporkan terjejas akibat banjir.
Katanya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pitas masih menunggu laporan rasmi daripada PPS yang terbabit dan jumlah mangsa dijangka meningkat sekiranya cuaca hujan.
“Sebahagian mangsa sudah ditempatkan di lebih 10 PPS di daerah ini dan semua PPS lengkap untuk keselesaan mangsa banjir,” katanya.
-Deasoka