Anggota bomba bertugas 24 jam hadapi banjir

Anggota bomba bertugas 24 jam hadapi banjir

Pitas: Operasi penugasan anggota bomba diatur gerak 24 jam bagi menghadapi banjir khususnya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk di negeri ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Misran Bisara berkata, aset bomba juga akan ditambah di kawasan berkenaan bagi memudahkan operasi pemindahan mangsa banjir.

Misran (kiri) ketika ditemui media selepas membuat tinjauan di kawasan banjir di Pitas dan Kota Marudu.

Katanya, seramai 40 anggota bomba sudah digerakkan ke daerah ini untuk operasi dan ditambah dengan aset empat lori, empat kenderaan pacuan empat roda dan juga empat bot untuk memudahkan operasi pemindahan mangsa banjir.

“Strategi pasukan bomba kali ini juga meletakkan aset-aset di kawasan ‘red zone’ seperti di Pitas, kerana kita ketahui agak jauh daripada balai berhampiran iaitu sejauh 50 kilometer dari Kota Marudu.

“Kita menempatkan aset dan juga anggota yang bersedia 24 jam di kawasan yang terjejas teruk banjir,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan di kawasan banjir di Kota Marudu dan Pitas, semalam.

Misran berkata, anggota bomba bersama agensi keselamatan yang lain turut berusaha membantu penduduk terjejas banjir di kawasan berkenaan untuk dipindahkan ke kawasan selamat atau Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sementara itu, ditanya mengenai cabaran anggota bomba dalam operasi banjir, Misran berkata, dalam menjalankan operasi banjir di Kota Marudu dan Pitas, antara cabaran utama iaitu keengganan penduduk kampung untuk berpindah.

“Ada antara penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir enggan berpindah, sekali gus menghiraukan keselamatan diri dan keluarga.

“Selain itu, aset-aset yang kita gunakan ada kalanya tidak beroperasi sepenuhnya kerana terdapat arus sungai yang deras hingga menyukarkan bot dan lori bergerak.

“Namun pasukan bomba cuba sedaya upaya untuk mengeluarkan mangsa daripada kawasan-kawasan berkenaan ke PPS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|