49 sekolah terjejas banjir di 7 daerah

49 sekolah terjejas banjir di 7 daerah

49 sekolah terjejas banjir di 7 daerah

Kota Kinabalu: Sebanyak 49 sekolah termasuk enam sekolah menengah membabitkan 15,531murid dan pelajar dilaporkan terjejas akibat bencana banjir yang berlaku di tujuh daerah seluruh Sabah, setakat ini.

Daerah terbabit ialah Pitas, Beluran, Kudat, Kota Marudu, Beaufort, Sipitang dan Lahad Datu.

Antara sekolah terjejas banjir di Beluran.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan, berkata daerah Beluran mencatat jumlah sekolah paling banyak terjejas iaitu sebanyak 18 sekolah, diikuti Kota Marudu sebanyak 16 sekolah.

Katanya, enam sekolah terjejas akibat banjir di daerah Pitas, empat sekolah di Beaufort, masing-masing dua sekolah di Kudat dan Lahad Datu serta sebuah sekolah terjejas di Sipitang.

“Kebanyakan sekolah terjejas sama ada disebabkan kawasan sekolah dilanda banjir atau laluan ke sekolah terputus atau tidak dapat dilalui akibat banjir.

“Selain itu, beberapa sekolah juga terpaksa ditutup kerana dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, setakat ini sebanyak sembilan sekolah dijadikan PPS di daerah Pitas, Beluran, Kudat dan Kota Marudu.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom dan SK Dandum di Pitas; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di Beluran; SK Sikuati dan SK Lok Yuk Sikuati di Kudat; serta SK Ranau, SK Taritipan, SMK Tandek dan SMK Bengkongan di Kota Marudu.

Sementara itu, katanya setakat hari ini sebanyak 32 sekolah dikenal pasti turut dilanda banjir, iaitu termasuk laluan dan kawasan sekolah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|