Kerajaan akan agih bantuan banjir – James Ratib

Kerajaan akan agih bantuan banjir – James Ratib

Kota Marudu: Keluarga yang terjejas susulan banjir di beberapa daerah di negeri ini akan menerima bantuan kewangan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, bantuan berkenaan akan diagihkan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarga yang terjejas akibat bencana alam itu.

James ketika membuat lawatan ke PPS di Dewan Komuniti Kota Marudu, semalam.

Bagaimanapun katanya, jumlah bantuan kewangan itu belum diketahui dan akan dimaklumkan kemudian.

“Saya dimaklumkan selain bantuan berbentuk bakul makanan, kerajaan juga akan memberi bantuan wang tunai… belum pasti berapa jumlahnya, saya akan maklumkan kemudian.

“Apa yang penting kita mahu meringankan beban keluarga yang ditimpa malang akibat kejadian banjir yang berlaku sejak beberapa hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, semalam.

Sementara itu, James berkata, pihaknya akan mempercepatkan bantuan makanan di semua PPS bagi memastikan mangsa-mangsa banjir mendapat makanan yang sempurna dan cepat.

Katanya, setakat ini, sebanyak kira-kira 15,000 pek makanan sudah disediakan oleh kerajaan untuk diagihkan kepada semua mangsa banjir termasuk bagi mereka yang terputus hubungan akibat banjir.

“Seperti kita sedia maklum, tidak semua mangsa yang dipindahkan ke PPS kerana ada mangsa yang berada di kawasan yang telah terputus hubungan akibat banjir ini.

“Kita akan mencari alternatif dengan bantuan pasukan-pasukan keselamatan bagi memastikan mereka ini turut mendapat bantuan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|