Penganggur ditahan miliki dadah syabu lebih 2 kilogram

Penganggur ditahan miliki dadah syabu lebih 2 kilogram

Tawau: Polis menahan seorang lelaki dan merampas lebih dua kilogram dadah jenis syabu bernilai RM130,000 dalam serbuan di kawasan Bandar Sri Indah, di sini, Selasa lalu.

Suspek warga tempatan berusia 53 ditahan ketika berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan berkenaan menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 2,076.66 gram.

Katanya, siasatan awal mendapati rampasan dadah berkenaan dipercayai untuk dijual dan diedar bagi pasaran tempatan dan kegunaan sekitar daerah ini.

“Siasatan lanjut juga masih dijalankan berkenaan lokasi dadah ini diperoleh dan sama ada terdapat rangkaian-rangkaian sindiket yang terbabit dalam kes ini.

“Selain itu, rampasan dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada 4,000 penagih dadah,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, siasatan mendapati suspek juga seorang penganggur dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkait dadah dan jenayah.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek dijalankan dan didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|