Sembunyi rokok seludup dalam guni berisi pisang

Sembunyi rokok seludup dalam guni berisi pisang

Tawau: Taktik menyembunyikan rokok untuk diseludup masuk ke daerah ini di dalam guni berisi pisang bagi mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya tumpas apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, berdasarkan maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai di Jeti CIQ, di sin, sebuah bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak bagi mengesan dan menahan bot serta suspek yang terlibat.

Rokok seludup yang dirampas oleh Maritim Malaysia di perairan Tawau.

Katanya, pada 6 pagi, sebuah bot penumpang yang bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Jati CIQ ditahan dan diperiksa di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Jeti CIQ.

“Seorang juragan lelaki tempatan berusia 33 tahun bersama penumpang wanita warga Indonesia berusia 48 tahun berada di dalam bot berkenaan.

Rokok seludup yang disembunyi dalam guni berisi pisang.

“Hasil pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa bot itu menemukan 28,000 batang rokok kretek yang disembunyikan di dalam guni yang berisi muatan pisang dipercayai cuba diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, nilai rampasan rokok berjumlah RM18,000 dan jumlah keseluruhan termasuk bot serta enjin dianggarkan berjumlah RM43,000.

Juragan dan penumpang wanita ditahan selepas didapati bot dinaiki mereka membawa muatan rokok seludup.

“Juragan, penumpang dan muatan serta bot ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, katanya penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya di perairan daerah ini.

Katanya, Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|