Hindari ceroboh kawasan pepasang SESB

Hindari ceroboh kawasan pepasang SESB

Kota Kinabalu: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti berhampiran pepasangan milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Amaran itu membabitkan kawasan berisiko tinggi terutama pencawang elektrik dan menara elektrik yang boleh mengakibatkan renjatan elektrik dan kematian.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir Idris Mohd Noor berkata, sebarang aktiviti yang dilakukan di bawah atau berdekatan dengan talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi adalah amat merbahaya.

Katanya, semua pencawang dan menara talian penghantaran elektrik adalah kawasan yang berisiko terkena renjatan elektrik.

“Apa jua aktiviti yang dilakukan berhampiran dengannya boleh mengundang bahaya jika mengabaikan faktor keselamatan.

“Mengorek lubang di bawah menara penghantaran elektrik milik SESB adalah satu pencerobohan dan boleh menjejaskan kestabilan menara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini lanjutan daripada klip video Tik Tok yang viral mengenai perkuburan di bawah menara talian penghantaran elektrik SESB.

Idris berkata, antara aktiviti lain yang berisiko tinggi mengundang renjatan elektrik termasuklah memancing di kawasan kolam atau tasik di bawah talian, bermain layang-layang atau kapal terbang model kawalan jauh.

Katanya, orang ramai juga dilarang melakukan sebarang kegiatan curi atau penyambungan bekalan elektrik secara haram.

“Tindakan menggunakan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk tujuan padang permainan, sukan ataupun berkaitan pasar awam juga amat dilarang.

“Aktiviti-aktiviti sedemikian boleh mencetuskan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang mengundang bahaya, berisiko tinggi, merosakkan harta benda malahan boleh maragut nyawa,” katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, SESB turut aktif mempergiatkan program kesedaran mengenai keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah-langkah keselamatan.

“SESB memohon jasa baik semua pihak supaya mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB mengenai keperluan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang aktiviti berhampiran pepasangan elektrik milik SESB.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi 15454 atau 088-51500 atau Whatsapp terus di talian 019-8525427 untuk membuat laporan atau aduan mengenai aktiviti atau kejadian membahayakan berhampiran pepasangan elektrik SESB,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|