Isu tuntutan Sulu: Sabah alu-alukan keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol

Isu tuntutan Sulu: Sabah alu-alukan keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol

Kota Kinabalu: Sabah mengalu-alukan tindakan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol baru-baru ini yang menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu sekali gus menjadi bukti bahawa tuntutan yang dibuat itu tidak berasas.

“Kita cukup senang hati kerana tuntutan yang dikemukakan itu telahpun dibatalkan oleh pihak yang berkenaan di Sepanyol dan Perancis.

“Ini menunjukkan bahawa tuntutan itu tidak berasas sama sekali, dan ini amat menyenangkan perasaan rakyat Sabah dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Kenderaan kepada 21 Pejabat Kawasan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), di Lobi Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sekiranya Kerajaan Negeri akan membuat tindakan susulan berhubung perkara itu, Hajiji berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menyelesaikannya.

“Kita serahkan kepada Kementerian Luar Negeri dan juga pihak menteri yang bertanggungjawab, Menteri Undang-Undang untuk dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik dan selama-lamanya,” katanya.

Sebelum ini Mahkamah Perlembagaan Sepanyol dilaporkan telah menolak rayuan perlembagaan luar biasa yang difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu.

Ia berhubung pembatalan pelantikan Dr Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian di antara Malaysia dan Sulu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|