Sabah catat 3 kes kematian akibat komplikasi demam denggi – JKNS

Sabah catat 3 kes kematian akibat komplikasi demam denggi – JKNS

Kota Kinabalu: Sebanyak tiga kes kematian akibat komplikasi demam denggi dicatatkan di negeri ini sepanjang Januari hingga 11 Februari ini, berbanding sifar kematian bagi tempoh yang sama, pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, kes kematian itu dicatatkan di daerah Sandakan, Kudat dan Kunak.

Beliau berkata, ketiga-tiga kematian membabitkan kanak-kanak berumur antara sembilan tahun hingga 12 tahun.

“Kes kematian akibat demam denggi di Sandakan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara Malaysia berumur 9 tahun, dari Kampung Tinusa 2 Laut.

“Di Kudat pula membabitkan seorang kanak-kanak perempuan bukan warganegara berusia 9 tahun iaitu dari Kampung Sibogoh Balak, Pulau Banggi.

“Sementara itu, di Kunak melibatkan seorang remaja perempuan bukan warganegara berusia 12 tahun, dari Kampung Jaya Baru Bakau,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan data demografik yang diperolehi, ketiga-tiga kes kematian itu membabitkan lokaliti kampung setinggan atas air.

Jelasnya, kesemua lokaliti tersebut telah dilaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi.

“Sehingga ke hari ini, Kampung Tinusa 2 Laut, Sandakan berstatus wabak tidak terkawal dengan jumlah sebanyak sembilan kes.

“Namun begitu, tiada kes baharu yang dilaporkan dari lokaliti Kampung Sibogoh Balak, Pulau Banggi dan Kampung Jaya Baru Bakau, Kunak,” katanya.

Dalam pada itu, Rose Nani berkata, bermula pada minggu pertama dan kedua Januari tahun ini, kes mingguan yang dilaporkan adalah melebihi 250 kes seminggu.

Namun, katanya, tiga minggu kebelakangan ini terdapat trend penurunan dalam kes mingguan yang dilaporkan iaitu minggu keenam yang berakhir pada 11 Februari lalu iaitu 230 kes berbanding 253 kes pada minggu sebelumnya, dengan penurunan sebanyak 23 kes (9.1 peratus).

“Dalam tempoh enam minggu, sejumlah 1,482 kes denggi telah dilaporkan di seluruh Sabah manakala sebanyak 15 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 19 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

“Antaranya ialah Sandakan, yang mempunyai sembilan lokaliti hotspot, Tawau (3 hotspot), Lahad Datu (2 hotspot) dan Kota Kinabalu (satu hotspot),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, peningkatan kes dan kematian denggi perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak dan aspek kebersihan persekitaran hendaklah dijadikan amalan hidup setiap masyarakat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|