FPSK UMS terima lawatan akreditasi Diploma Kejururawatan dari MQA, LJM

FPSK UMS terima lawatan akreditasi Diploma Kejururawatan dari MQA, LJM

Kota Kinabalu: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima lawatan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM).

Lawatan selama tiga hari, iaitu bermula Selasa hingga Khamis, merupakan lawatan akreditasi bagi Program Diploma Kejururawatan FPSK.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, tujuan lawatan itu antara lain untuk mengawal kualiti pendidikan kejururawatan agar sentiasa relevan dengan keperluan pasaran kerja sekali gus terus melahirkan jururawat yang berkualiti dan kompeten.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor

“Sebagai makluman, program Diploma Kejururawatan UMS telah berjaya melahirkan lebih 10 kohort graduan yang kini berkhidmat di hospital-hospital awam dan swasta tempatan.

“Malah ramai juga antara mereka yang turut ditawarkan bekerja di luar negara seperti di Singapura, Timur Tengah dan Australia.

“Kesinambungan daripada itu, UMS kini menawarkan Program Sarjana Muda Kejururawatan bermula pada tahun 2022 dengan pengambilan kohort sulung seramai 25 pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan selepas menyempurnakan Majlis pembukaan lawatan akreditasi tersebut.

Ia dihadiri dua panel penilai LJM, Rukiah Osman dan Nik Hazlini Nik Zainal Abidin bersama seorang pegawai MQA, Nurhadirah Adnan.

Dalam pada itu, Kasim turut merakamkan ucapan penghargaan kepada ketiga-tiga panel LJM dan MQA yang hadir.

“Semoga lawatan akreditasi ini terus menjamin kualiti yang terbaik khususnya untuk program Diploma Kejururawatan agar sentiasa berdaya saing dan melahirkan Market-Ready Graduates,” katanya.

Untuk rekod, lawatan akreditasi itu merupakan lawatan berkala kedua setelah lawatan pertama pada 2018, yang menyaksikan program Diploma Kejururawatan mendapat Pengiktirafan Penuh oleh MQA dan LJM.

Hadir sama Dekan FPSK, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Pengarah Pusat Jaminan Kualiti, Profesor Ir. Ts. Dr. Zainal Zakaria; dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik, Dr. Denis Andrew D. Lajium.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|