Dakwaan Shafie fitnah – Nizam

Dakwaan Shafie fitnah – Nizam

Kota Kinabalu: Dakwaan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengatakan wakil rakyatnya dibeli disifatkan sebagai fitnah dan politik murahan yang cuba memalitkan imej negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyifatkan dakwaan Ahli Parlimen Semporna itu yang disuarakannya ketika berbahas di Dewan Rakyat, baru-baru ini hanya cerita dongeng.

“Ucapan Datuk Seri Shafie di Parlimen baru-baru ini yang membuat tuduhan dengan cerita dongeng bahawa wakil rakyatnya keluar parti kerana telah dibeli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan sikap beliau sendiri sebagai seorang pemimpin yang hanya suka berpolemik dan menimbulkan ketidakstabilan politik di Sabah.

“Jika Presiden Parti Warisan itu mempunyai bukti ADUNnya dibeli sepertimana dakwaan beliau, maka laporlah kepada SPRM dan bukannya hanya membuat dakwaan retorik kerana kelemahannya sendiri lalu menyalahkan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Mohd Shafie seharusnya menyalahkan diri beliau sendiri dan parti yang dpimpinnya apabila beberapa ADUNnya keluar parti.

Jelasnya, ADUN WARISAN yang keluar parti bertindak sedemikian atas sebab parti itu tidak lagi sesual menjadi platform memperjuangkan hak-hak dan membela rakyat.

“Ini kerana para pemimpin utama parti itu lebih gemar menimbulkan polemik dan ketidakstabilan politik yang hanya menyusahkan rakyat dan mengganggu agenda kerajaan membangunkan negeri ini,” katanya.

Nizam berkata, Mohd Shafie perlu bermuhasabah diri bahawa kepimpinan beliau bukan sahaja ditolak oleh ADUN dari partinya sendiri tetapi keputusan PRU15 November lalu turut menyaksikan parti itu semakin ditolak rakyat.

Katanya, ia berdasarkan kegagalan WARISAN mempertahankan lima kawasan Parlimen yang disandangnya sejak PRU14, termasuklah kekalahan teruk Timbalan Presiden dan Ketua Penerangan parti itu.

Mohd Shafie sebelum ini mendakwa tiga ADUNnya, iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) keluar parti kerana ‘dibeli’.

Ketiga-tiga wakil rakyat WARISAN itu sebelum ini menyatakan keputusan keluar parti dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|