Sabah alu-alukan rombakan Kabinet Persekutuan, fokus pacu Malaysia ke hadapan: Hajiji

Sabah alu-alukan rombakan Kabinet Persekutuan, fokus pacu Malaysia ke hadapan: Hajiji

TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan pelaksanaan rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan Madani dalam usaha menambah baik proses pentadbiran Persekutuan sedia ada.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya yakin dengan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan langkah berkenaan bersesuaian dengan perjalanan corak pentadbiran yang memacu Malaysia lebih ke hadapan.

“Kita amat mengalu-alukan setelah satu tahun Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan YAB Perdana Menteri beliau memikirkan perlu ada sedikit rombakan untuk menempatkan mereka yang di tempat yang sesuai bagi membantu beliau mentadbir kerajaan dan kementerian-kementerian kerajaan persekutuan.

“Kita beri sokongan kepada apa juga yang dilakukan Perdana Menteri, kerana tujuan untuk kebaikan dan perjalanan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jubli Intan Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, Tuaran, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri hari ini mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan jemaah menteri baharu untuk pelaksanaan Kerajaan Perpaduan Madani.

Mewakili dari Sabah, Datuk Seri Armizan Mohd Ali yang memegang jawatan terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) telah dilantik sebagai Menteri Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) manakala seorang lagi wakil Sabah, Datuk Ewon Benedick, kekal sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Mengulas mengenai pelantikkan Armizan yang menggalas jawatan baharu itu, Hajiji dalam sesi sama berkata, pihaknya yakin Ahli Parlimen Papar tersebut mampu menunaikan harapan rakyat dalam usaha Persekutuan menangani cabaran kos sara hidup rakyat jelata.

“Ini satu perkembangan yang bagus, saya yakin Datuk Armizan akan menjalankan tugas beliau di kementerian yang cukup mencabar, ini kementerian bukan main-main, kos sara hidup yang tinggi, segala-galanya memerlukan tumpuan yang lebih kepada kementerian ini.

“Beliau telah menjalankan tugas memangku beberapa bulan dan mungkin kerana itulah Perdana Menteri melihat beliau boleh diberi peluang maka beliau dipindah ke kementerian ini dan saya yakin beliau boleh menjalankan tugas,” katanya lagi.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|