Sabah alu-alukan peruntukan tambahan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah air

Sabah alu-alukan peruntukan tambahan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah air

Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri mengalu-alukan peruntukan tambahan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah air di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu akan banyak membantu dalam mengurangkan masalah bekalan air yang dihadapi Sabah ketika ini.

“Ia menunjukkan Kerajaan Perpaduan Persekutuan benar-benar prihatin terhadap Sabah kerana peruntukan itu adalah tambahan kepada RM320 juta yang diluluskan Perdana Menteri untuk kita pada 1 Jun tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, pembiayaan itu akan mempercepatkan tindakan semasa yang sedang dilaksanakan untuk menangani masalah air.

“Ini adalah berita baik kerana kami telah membuat rancangan untuk bertindak dan memberi jangka masa kepada Jabatan Air untuk menyelesaikan isu air,” katanya.

Terdahulu, Anwar dalam ucapan “Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat” awal hari ini telah mengumumkan bahawa tambahan RM800 juta sebagai langkah jangka pendek untuk menangani masalah air di Sabah dan Kelantan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|