Pelajar UiTM Cawangan Sarawak mewakili Malaysia Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship 2023

Pelajar UiTM Cawangan Sarawak mewakili Malaysia Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship 2023

Samarahan: Impian Muhammad Abal Hakim Abal Mukam, Kolej Pengajian Seni Kreatif untuk menyertai Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship 2023, yang bakal berlangsung di Orlando, Amerika Syarikat pada 28 Julai hingga 3 Ogos 2023 terlaksana.

Ia menjadi kenyataan apabila beliau mendapat tajaan berjumlah RM20,000 daripada Kerajaan Negeri Sabah yang disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu majlis ringkas yang dibuat secara dalam talian.

Muhd Abal yang berasal dari Kampung Gadong, Beaufort, Sabah diumumkan sebagai pemenang tempat ke-2 dan People’s Choice Award dalam pertandingan CCC’s Adobe Certified Professional Malaysia National Championship 2023 di CCEC yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 Jun lepas.

Oleh yang demikian, beliau layak bertanding untuk mewakili Malaysia ke pertandingan berkenaan bersama-sama pemenang lain.

Pusingan akhir kejohanan dunia di Orlando nanti akan mengumpulkan semua juara serantau untuk bersaing dalam cabaran reka bentuk digital.

Pelajar akan menggunakan Adobe Photoshop, Adobe Illustrator dan Adobe InDesign (atau gabungan ketiga-tiga pilihan mereka) untuk menyelesaikan cabaran reka bentuk pertandingan.

Muhd Abal yang merupakan pelajar semester dua, Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Grafik dan Media Digital) akan berangkat ke Orlando, Amerika Syarikat pada 27 Julai 2023 dan akan kembali ke tanah air pada 4 Ogos 2023.

UiTM dalam satu kenyataan media turut mendoakan semoga Muhd Abal memperolehi kejayaan yang diimpikan dan seterusnya menjadi contoh kepada pelajar-pelajar UiTM Cawangan Sarawak yang lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|