Rakyat perlu terus bersatu padu untuk maju – Hajiji

Rakyat perlu terus bersatu padu untuk maju – Hajiji

Tuaran: Rakyat di negeri ini, khususnya umat Islam, diseru untuk terus bersatu padu dan mengukuhjan kerjasama dalam menyambut bulan Ramadan Al-Kareem.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan adanya perpaduan kukuh dan utuh di kalangan rakyat berbilang kaum, kerajaan dapat merancang, membangun dan majukan negeri ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Ramadan 1444H Tahun 2023 di Masjid Haji Abd Razak Sabandar Tuaran, hari ini.

“Perpecahan akan merugikan kita. Untuk maju ke hadapan dan dihormati, kita mesti bersatu padu dan bekerjasama.

“Gunakan bulan Ramadan ini untuk kukuhkan perpaduan dan persefahaman,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Ramadan 1444H Tahun 2023 di Masjid Haji Abd Razak Sabandar Tuaran, hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, sejak menyandang jawatan Ketua Menteri, kesibukan tugas mentadbir negeri menyebabkan beliau mempunyai masa yang terhad bersama rakyat di kawasannya.

“Saya amat senang hati kerana dapat bertemu dengan rakyat di Kampung Sabandar dan berbuka puasa bersama dalam bulan Ramadan ini,” katanya.

Selain menyampaikan sumbangan kepada Masjid Haji Abd Razak Sabandar, beliau turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada seramai 77 orang asnaf, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan ibu tunggal miskin dari kawasan Sabandar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|