Kota Kinabalu: Konsep MADANI yang diterapkan oleh kerajaan memberi makna yang sangat berharga pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Ketua Penerangan Keadilan, Razeef Rakimin berkata, Madani membawa erti maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (masyarakat, generasi dan sebagainya).
Menurutnya, Madani juga memberi makna usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemai nilai-nilai murni kekeluargaan, kurikulum yang juga terarah kepada pembinaan masyarakat.
“Sepanjang negara di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan, jelas dilihat nilai-nilai ini diamalkan dalam pentadbiran.
“Bermula dengan reformasi pentadbiran, pengenalan menu dan harga Rahmah serta usaha memastikan harga barang terkawal selepas naik mendadak sebelum ini di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Razeef berkata, semalam sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian bayaran tol bagi semua jenis kenderaan selama empat hari di kesemua 33 lebuhraya, ini berbeza dengan pentadbiran sebelum ini.
“Selain itu, Kerajaan juga memberikan cuti peristiwa tambahan, kadar khas bayaran saman sebanyak RM50 bagi kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya serta diskaun khas buat pengusaha menu Rahmah dan banyak lagi pengumuman lain.
“Namun satu pengumuman yang sangat menyentuh hati adalah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) bagi memberi peluang kepada penghuni penjara merayakan aidilfitri bersama keluarga tercinta.
“Berbeza dengan pentadbiran sebelum ini, kerajaan hari ini memberikan serta menambah bantuan khas aidilfitri bagi meringankan beban rakyat di semua peringkat,” katanya.
Jelasnya, antara bantuan baharu yang diberi adalah bantuan untuk Pesawah Padi sebanyak RM400, Nelayan RM500 serta Pekebun Kecil Getah sebanyak Rm1,000.
Manakala, katanya, bantuan yang dinaikkan adalah bantuan khas aidilfitri Penjawat Awam sebanyak RM700 yang sebelum ini hanya RM500 serta bantuan khas aidilfitri untuk pesara awam sebanyak RM350 yang sebelum ini hanya RM250.
“Pentadbiran kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menjadi sebuah kerajaan yang terbaik pernah mentadbir dan menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan serta membersihkan pentadbiran negara dari amalan rasuah dan salahguna kuasa.
“Saya yakin rakyat sangat terkesan dengan keprihatinan pemimpin hari ini. Dengan memaknai slogan Malaysia MADANI, negara berada di landasan tepat menuju sebuah negara sejahtera,” katanya lagi.
-Deasoka