Kota Kinabalu: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini secara sederhana dan mengamalkan pengurusan kewangan berhemah.
Katanya, tidak dinafikan, memasuki fasa peralihan selepas negara dilanda pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas turut memberikan kegembiraan kepada seluruh umat Islam yang akan meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, mereka perlu berwaspada kerana virus COVID-19 masih berlaku dipersekitaran mereka.
“Suasana beraya di kampung bersama sanak-saudara yang sekian lama tidak dikunjungi sudah terbayang-bayang dan sememangnya dinanti-nantikan.
“Ditambah pula dengan ‘dendam’ setelah dua tahun kita tidak dapat menyambut Hari Raya sepuas-puasnya seperti dahulu.
“Pastinya kita ingin dilihat cantik dan bergaya dengan persalinan baju serta kelengkapan rumah yang serba baharu,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Adiilfitri tahun ini.
Pengumuman pengisytiharan itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad telah menetapkan umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidillfitri tahun ini pada hari Sabtu.
Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, disebalik kegembiraan dan keseronokan menyambut hari raya tahun ini berbanding tahun-tahun lepas, adakah kita (umat Islam) bersedia dari segi kewangan?
Justeru itu, katanya, perancangan kewangan sangat penting untuk mengelak daripada terlebih berbelanja.
Bung berkata, keadaan ekonomi negara masih dalam proses pemulihan selepas negara dilanda pandemik COVID-19, dan ramai mengakui kadar inflasi semakin terasa dengan kenaikan harga barang-barang keperluan harian.
“Justeru, perbelanjaan berhemah dan bijak perlu menjadi keutamaan.
“Laksanakan kebaikan itu dalam suasana sewajarnya agar ia tidak mendatangkan kesukaran kepada diri kita sendiri.
“Apa yang penting kita dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana harmoni, kunjung mengunjungi, bermaaf-maafan, ianya akan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam, malah kaum-kaum lain untuk berkongsi perayaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan turut mengakui kesukaran yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini terutamanya golongan nelayan, petani dan penternak dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, terutamanya golongan B40, peluang pekerjaan yang berkurangan lebih menyulitkan kehidupan mereka.
“Mujurlah Kerajaan Pusat menghulurkan Bantuan Tunai Rahmah bagi golongan B40 bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah untuk menghadapi kos sara hidup
“Ia termasuk pemberian khas kepada kakitangan kerajaan sekurang-kurangnya dapat meringkan beban mereka,” katanya lagi.
Bung berkata, golongan B40 di Sabah termasuk petani-petani dan nelayan sebenarnya menyimpan harapan agar kerajaan negeri juga cakna dengan nasib mereka dengan menghulurkan bantuan kewangan, sesuai dengan dakwaan kedudukan kewangan negeri semakin kukuh namun harapan mereka tidak kesampaian.
Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Bung bersama keluarga berharap sambutan Aidilfitri tahun ini kekal ceria dan harmoni meski pun dengan pelbagai cabaran terutamanya cabaran ekonomi yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini.
-Deasoka