Kota Kinabalu: Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dan kumpulan syarikatnya telah menganjurkan majlis berbuka puasa tahunannya bagi meraikan anak-anak Rumah Amal Kasih Kingfisher (RAKK)
Pengerusi QSB, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, program itu merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan.

“Ia sebahagian daripada CSR syarikat pada bulan Ramadan setiap tahun, bagi memupuk hubungan bersama pihak berkepentingan dan masyarakat.
“Selain turut menyebarkan kemeriahan perayaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
“Kami berharap dapat menghayati semangat Ramadan yang berkisarkan kesyukuran, kemasyarakatan, dan kemurahan hati kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim & Pengagihan Zakat Kumpulan Qhazanah Sabah Berhad di The Magellan Sutera, semalam.
Selain itu, QSB turut menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada RAKK, yang disambut baik oleh Pengasasnya, Nooraisah Ayub.
Menurut Nooraisah, beliau menghargai sumbangan itu dan ia pastinya dapat membantu dalam meringankan beban mereka, dari segi penyelenggaraan dan kos pengoperasian harian.
Pada majlis itu juga, kumpulan syarikat perniagaan QSB telah menyampaikan Zakat Perniagaan Tahun 2022 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), berjumlah RM125,972.
Manakala, rakan perniagaan, Celcom Timur Sabah Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.05 juta.
-Deasoka