Mereka yang tinggalkan parti golongan yang tewas – Bung

Mereka yang tinggalkan parti golongan yang tewas – Bung

Sandakan: Mereka yang meninggalkan parti adalah golongan yang tewas dalam perjuangan dan tiada nilai perjuangan yang boleh diteladani, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, apa yang benar dalam perjuangan ialah mereka yang mengambil tanggungjawab dan yang bertahan teguh pada prinsip serta pendirian, apa pun kesukaran dan cabarannya.

“Pertama, tindakan lari dari parti jelas menunjukkan sisi sebenar diri mereka yang selama ini kita tidak ketahui. Tidak usah kita risau.

“Mereka yang lari dari wadah perjuangan ini tidak akan merugikan kita. Sudah lumrah, ibarat sebuah perkahwinan, jika takdirnya adalah perpisahan, maka berpisahlah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor bahawa partinya terbuka menerima tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang dipecat.

Tiga ADUN yang dipecat itu ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, mereka pada bila-bila boleh mengambil bekas pemimpin UMNO yang khianat kepada parti.

Malah, katanya, sebelum ini dalam kenyataan mereka, tiga ADUN yang terlibat sudah menyatakan sokongan mereka kepada Hajiji sekali gus menyokong GRS.

“Apa pun, sebelum pemecatan dibuat perkara ini telah dirujuk kepada Lembaga Displin parti dan dikeluarkan surat tunjuk sebab, namun mereka enggan berhadapan dengan Lembaga Displin.

“Dan selepas itu perkara ini dirujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi sebelum pemecatan dilakukan, kita mengikut prosedur parti yang ditetapkan,” katanya.

Bung berkata, dalam situasi ini, UMNO khususnya UMNO Sabah akan merasa lebih selamat bersama pemimpin dan ahli yang memiliki prinsip kesetiaan dalam parti, daripada menyimpan pemimpin yang seperti ‘gunting dalam lipatan’.

Tambahnya, apa pun cabaran yang berlaku, UMNO Sabah perlu meneruskan langkah ke hadapan, tanpa meratapi pemergian mereka yang sudah tidak lagi sudi bersama UMNO.

“Paling menyedihkan dan dikesalkan, dalam semua perkiraan ini (wang, pengaruh, jawatan dan kuasa) tidakkah sedikit pun mereka ini fikir tentang satu perkara yang paling penting? Iaitu rakyat dan pengundi yang mengangkat mereka.

“Apakah rakyat dan pengundi adalah perkiraan paling akhir dalam membuat keputusan? Sehinggakan undi yang mereka buang atas nama parti asal mereka itu (UMNO) sedikit pun tidak bernilai,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, orang perjuangan tidak akan pernah lari daripada perjuangan asalnya, yang menjadi tunjang kepada pegangan dan prinsipnya, apa lagi UMNO merupakan parti keramat yang lahir dari suara rakyat dibina atas semangat perjuangan bukan atas dasar tamak kuasa.

Katanya, tindakan mengalu-alukan pelarian UMNO menunjukkan kerapuhan kedudukan dan sisi sebenar penerimanya.

“Mungkin ada yang beranggapan bahawa ahli-ahli politik yang telah meninggalkan UMNO, untuk menjadi bebas mahupun menyertai wadah-wadah politik lain, adalah pejuang.

“Tapi sebenarnya mereka bukan pejuang mereka adalah golongan yang tewas dalam perjuangan. Tiada sekelumit nilai perjuangan yang boleh kita teladani daripada mereka.

“Kerana golongan ini adalah virus yang selama ini menyakiti dan merosakkan UMNO, biarkanlah di mana pun mereka berada, pasti akan membawa sakit dan rebah.

“Saya yakin, virus-virus penyakit yang selama ini telah membarah di dalam diri mereka ketika bersama UMNO pasti akan menjadi sebahagian daripada darah daging bersama parti baharu yang mereka sertai.

“Mereka akan bawa bersama mereka budaya politik naungan dan wang. Mereka akan mencari segala kesempatan dan ruang bukan untuk berjuang, tetapi mengaut manfaat untuk kepentingan peribadi,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|