Kinabatangan: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin nafi mengeluarkan kenyataan untuk kembali menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), seperti mana yang disiarkan stesen televisyen swasta.
Menurut beliau, sebelum ini Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pernah mengeluarkan kenyataan memberikan sokongan kepada kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan mengambil kira ketetapan di peringkat persekutuan yang membentuk kerajaan perpaduan.
“Perbincangan telah dilakukan oleh Sekteriarat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk menyelaras semua parti yang mengasaskannya dan di Sabah kita diwakili oleh Timbalan Ketua Umno sebelum ini, Datuk Yakub Khan.
“Bagaimanapun, sehingga ke hari ini tidak ada resolusi yang dicapai, malah, pemecatan penjawat jawatan awam lantikan politik dari UMNO terus dilakukan. Apakah ini dimaksudkan kerajaan Perpaduan?” katanya ketika ditemui pada Majlis Santunan Kasih Ramadan, di masjid daerah Kinabatangan, hari ini.
Menurut Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, apa yang beliau perjelaskan kepada media terdapat kekeliruan orang ramai khususnya ahli parti apabila pemimpin UMNO yang masih berada dalam kerajaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekarang.
“Bagaimanapun, mereka tidak dapat membuat sokongan secara terbuka dan menandatangani akuan bersumpah (SD).
“Pemimpin yang dipecat oleh UMNO kerana mereka menyokong secara terbuka dan menandatangi SD dan telah pun mengistiarkan mereka keluar dari UMNO,” katanya.
Sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO/BN Sabah, beliau tidak dapat memberikan komen siapa yang Ketua Menteri lantik dan pecat dari UMNO dalan kabinet atau pejawat awam lantikan politik.
Bagaimanapun, katanya, tindakan ini sebenarnya tidak melambangkan konsep Kerajaan Perpaduan yang sebenarnya.
“Justeru, bagaimana kita boleh menzahirkan sokongan jika begini keadaanya.
“Inilah persoalan yang timbul sekarang, bagaimana kita boleh melestarikan konsep Kerajaan Perpaduan di Sabah, kita suka lantik, tidak suka pecat dan suasana ini tidak akan mewujudkan kestabilan politik khususnya di Sabah.
“Bagi UMNO, kita tenang sahaja tidak perlu seperti peribahasa ‘hidung tak mancung, pipi pula yang tersurung-surung’,” katanya lagi.
-Deasoka