Aktifkan peranan media di semua bahagian UMNO – Bung

Aktifkan peranan media di semua bahagian UMNO – Bung

Sandakan: Bahagian-bahagian UMNO di negeri ini diseru untuk mengaktifkan peranan media bagi mempertahankan parti dan pemimpin dari serangan tentera siber atau “cybertroopers” parti lawan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia perlu diambil perhatian serius oleh Biro Penerangan di setiap bahagian dimana satu Biro baharu iaitu Komunikasi dan Strategik telah dibentuk.

Bung sambil disaksikan Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Jafry Srifin dan Naib Ketua Bahagian, Pangiran Aziz Pangiran Damsah menyerahkan watikah perlantikan kepada salah seorang ahli jawatankuasa UMNO bahagian Kinabatangan.

“Kita perlu aktif dalam pelbagai platform media terutamanya media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, portal dalam talian termasuk media cetak.

“Bagi mempertahankan pemimpin dan parti apabila diserang oleh parti lawan terutamanya di media sosial,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pertama ahli jawatankuasa UMNO bahagian Kinabatangan dan majlis angkat sumpah, di Sabah Hotel, kelmarin.

Beliau berkata, UMNO Sabah menyedari parti lawan telah memanfaatkan kemudahan ini untuk menyerang UMNO, ia termasuklah penguasaan mereka terhadap beberapa portal dalam talian dan difahamkan turut menyediakan dana untuk mereka melaksanakan tugas menyerang UMNO.

“Bukan sahaja portal dalam talian di media sosial, TikTok mereka terus menyerang malah turut melibatkan pegawai-pegawai tertinggi pemimpin tertentu seperti Setiausaha Politik dan Pegawai Khas membuat pelbagai provokasi dan fitnah di media sosial yang bukan pun tugas hakiki mereka,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan mahu agar disetiap daerah mengundi (PDM) UMNO diwujudkan kumpulan tentera siber atau ‘cyebertroopers’ yang aktif.

Katanya, peranan ini perlu dipikul oleh Biro Penerangan, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian dan cawangan sebagai tenaga pengerak utamanya.

Tegas beliau, perkara penting ini disebabkan apabila UMNO Sabah membuat kajian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, adalah jelas parti yang tidak menelaah dan tidak menggunakan kekuatan media sosial akan dikalahkan.

“Realitinya, gambaran politik pada ketika ini telah berubah daripada landskap politik biasa, di mana setiap parti perlu merungkai dan perlu mencari pendekatan baharu untuk memastkkan parti itu akan terus sentiasa relevan dalam berhadapan dengan pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Bung mengakui kelemahan UMNO dalam memenangi banyak kerusi pada PRU dan PRN lepas disebabkan budaya parti itu, yang mana kebanyakan ahlinya tidak memainkan peranan untuk menghalang dan membela kritikan terhadap pemimpin mereka melalui media sosial.

“Bahkan mereka terikut-ikut dengan rentak pembangkang (contohnya) apabila sebuah blog atau portal dalam talian menyiarkan bermacam-macam, orang UMNO sendiri pula ‘discredit’ atau memburukkan pemimpin dia,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, kumpulan tentera siber atau ‘cybertroopers’ akan diwujudkan di setiap pusat daerah mengundi (PDM) UMNO, mampu memberikan impak lebih tinggi untuk membantu kekuatan parti itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|