Program AGRO Komuniti beri peluang pekerjaan golongan B40

Program AGRO Komuniti beri peluang pekerjaan golongan B40

Kota Kinabalu: Program AGRO Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 bakal menjadi program perintis dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah B40 dalam industri pertanian.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata initipati program tersebut akan membantu mereka sehingga berjaya menjadi usahawan peladang kontrak tanaman nanas MD2.

Pengarah Aqina Borneo Sdn Bhd, Wesley Tan Seah Ging memberi taklimat mengenai Program Komuniti B40.

Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata ia sekali gus memainkan peranan dalam agenda pembangunan kerajaan iaitu keterjaminan makanan.

“Saya berharap pelaksanaan program AGRO Komuniti ini dapat berkembang ke daerah dan lokasi yang lain agar golongan B40 ini mendapat manfaat dan peluang pekerjaan dan berdikari sebagai usahawan yang berjaya.

“Selain itu, ia akan menjadi platform dan pemangkin kepada perkembangan industri pertanian di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Program AGRO Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2, anjuran Syarikat Aqina Borneo Sdn Bhd di Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) Korporasi Pembangunan Desa (KPD) di Beaufort, semalam.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama daripada syarikat swasta bagi sama-sama membangunkan sektor pertanian, khasnya bagi ladang pengeluaran makanan.

Tambahnya, program AGRO Komuniti B40 bertujuan untuk melatih petani kecil menjadi usahawan dengan skala tanaman yang lebih besar dan berinovasi.

“Program ini melibatkan kolaborasi daripada pelbagai pihak iaitu Aqina Fruits Sdn Bhd, Aqina Borneo Sdn Bhd, KPD dan AGROBANK.

“Kolaborasi ini akan mewujudkan satu mekanisme untuk membantu golongan B40 melibatkan diri dalam penanaman dan pemasaran nanas MD2.

“Syarikat Aqina Borneo Sdn Bhd akan membekalkan khidmat nasihat berkenaan pengurusan ladang, kewangan, kaedah, teknik-teknik tanaman nanas MD2, dari peringkat penyediaan tanah hingga tuaian hasil serta pasaran.

“Pihak Agorbank pula akan membantu dari segi pembiayaan kewangan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada masyarakat tani di Lingkungan dan sekitar, agar mengambil peluang untuk menyertai program ini serta memanfaatkan kewujudan Pusat Pengumpulan Hasil Tani KPD.

Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam dan Pengerusi Lembaga Pengarah KPD, Jannie Lasimbang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|