Pengusaha pelancongan disaran tubuh koperasi

Pengusaha pelancongan disaran tubuh koperasi

Kota Belud: Pengusaha dan persatuan pelancongan di Sabah disaran supaya menubuhkan koperasi pelancongan bagi memudahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurjan bantuan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata saranan itu turut ditujukan kepada pengusaha pelancongan di kawasan Kadamaian.

Ewon (kanan) turun padang melawat beberapa kawasan di Kadamaian, Kota Belud.

“Kadamaian terkenal dengan pusat pelancongan menarik dan berharap pengusaha pelancongan sama ada persatuan atau persendirian dapat menubuhkan koperasi pelancongan bagi memudahkan kementerian melalui SKM menyalurkan bantuan.

“SKM menyediakan pelbagai kemudahan untuk dinikmati oleh koperasi seperti geran bantuan pembangunan koperasi dan pinjaman Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meyempurnakan pecah tanah eko pelancongan Kampung Ratau, di sini, semalam

Sementara itu, mengenai pembangunan di Kadamaian, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian yang diinisiatifkannya sebelum ini akan diteruskan.

“Pada tahun ini, sebanyak RM1 juta peruntukan disediakan untuk Pembangunan Fasa 3 Tamu Kadamaian yang akan disalurkan melalui Pejabat Daerah Kota Belud.

“Peruntukan itu akan digunakan untuk membina parit di kawasan tamu mingguan Taginambur, taman permainan, kawasan tempat letak kereta, pemasangan lampu solar dan pembangunan-pembangunan lain di kawasan itu.

“Ini adalah komitmen dan tanggungjawab berterusan saya untuk rakyat Kadamaian yang telah memberikan mandat kepada saya sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut mengumumkan peruntukan pembinaan dewan terbuka di kawasan eko pelancongan Kampung Ratau sebanyak RM70,000 dan peruntukan khas membaik pulih Gereja SIB Ratau sebanyak RM15,000.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|