Perkemas, perkukuh parti hadapi cabaran – Raime

Perkemas, perkukuh parti hadapi cabaran – Raime

Kota Kinabalu: Akar umbi dan ahli UMNO Sabah disaran untuk terus memperkukuh jentera parti dalam usaha memperkemas persiapan cabaran politik akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, persidangan cawangan yang bermula 1 Februari lalu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam mencari aspirasi baharu bagi memastikan parti keramat itu terus kekal relevan di mata rakyat.

Beliau berkata, senario politik yang sentiasa dinamik di peringkat pusat termasuk di Sabah perlu menjadi pemangkin utama dalam mengekalkan perpaduan di peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian.

“Selamat bersidang untuk semua ahli UMNO Sabah yang mana sudah bermula pada 1 Februari lalu dan tamat pada 26 Februari nanti.

“Ambil peluang ini untuk memanfaatkan ikatan memperkuat jentera sedia ada sebagai persiapan menghadapi cabaran politik di masa akan datang di Sabah, malah persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Setiap apa yang terjadi kepada UMNO, BN Sabah dalam senario politik masa kini mempunyai hikmah tersendiri, dan kita sebagai ahli yang setia harus merapatkan ukhuwah demi memartabatkan imej parti ini di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan medianya, malam tadi.

Raime dalam masa yang sama turut menasihatkan semua penyokong, ahli dan akar umbi supaya terus bertenang menghadapi kemelut politik di Sabah selain memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan mengorak langkah terbaik demi kelangsungan parti.

“Seperti mana yang saya pernah sentuh sebelum ini, UMNO Sabah tetap relevan dan bersedia mengharungi segala onak duri politik yang mana sudah dibuktikan dalam beberapa senario sebelum ini.

“Percayalah, kita akan sentiasa bangkit,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|