PN tidak tutup kedai di Sabah – Ronald

PN tidak tutup kedai di Sabah – Ronald

Tawau: Perikatan Nasional (PN) tidak berhasrat untuk ‘tutup kedai’ di Sabah memandangkan masih ada parti komponennya yang bertapak di negeri ini.

Menegaskan perkara itu, Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, sebaliknya berkata penstrukturan jawatan di peringkat bahagian akan dilakukan bagi memastikan PN terus bertapak dan releven di Sabah.

Ronald (tengah) bersama ahli PN bahagian Tawau dan Kalabakan.

“PN Sabah masih ada komponen yang bersama di negeri ini termasuklah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Kita akan bergerak bersama parti komponen dan meneruskan usaha serta perjuangan PN di negeri ini pada pilihan raya akan datang.

“Hakikatnya, PN adalah satu gabungan yang besar dan berada di hadapan dalam landskap politik negara ketika ini, malah di Semenanjung sebanyak 74 kerusi Parlimen sudah ditawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Sabah PN Tawau dan Kalabakan, di sini, semalam.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran percaya PN mampu menjadi pilihan rakyat Sabah kerana pengundi sudah bijak menilai dan meletakkan asas politik yang lebih nasional.

“Walaupun pelbagai naratif politik yang dibuat oleh pemimpin negeri ketika ini, saya yakin PN berjaya menawan Sabah kelak,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata usaha mengisi kekosongan jawatan dalam pimpinan BERSATU Sabah juga akan dilaksanakan segera.

“Kita sedia maklum beberapa kekosongan jawatan ketua bahagian BERSATU berlaku kerana penghijrahan ke parti lain dan mereka juga sudah dikenal pasti.

“Kita akan melantik ketua penaja yang baharu bagi meneruskan gerakan kerja dan jentera parti BERSATU di semua bahagian pada hujung tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, Ronald menerima 100 borang keahlian BERSATU daripada Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) DUN Kukusan.

Turut hadir, Yang Dipertua PAS Kalabakan merangkap Ketua Penerangan PAS Sabah Ahmad Dullah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|