Banjir: Hanya 1,496 mangsa masih berada di PPS

Banjir: Hanya 1,496 mangsa masih berada di PPS

Kota Kinabalu: Berikutan situasi banjir di negeri ini yang semakin pulih, jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga terus mencatat penurunan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, hanya 1,496 mangsa daripada 607 Ketua Isi Rumah (KIR) dilaporkan setakat jam 4 petang ini.

Keadaan semasa di satu-satunya PPS yang beroperasi di Lahad Datu, iaitu Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu.

Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 1,664 mangsa daripada 651 KIR yang dicatatkan pada jam 8 pagi tadi.

“Sehubungan itu, terdapat tiga lagi PPS yang telah ditamatkan operasi, membawa jumlah keseluruhan PPS yang masih aktif kepada tujuh buah.

“Ketiga-tiga PPS yang ditutup itu adalah di daerah Paitan, antaranya ialah Masjid Binsulung, Rumah Pengerusi JPKK Kg Cocos dan Dewan Kg Sungai-Sungai,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, tiga daerah yang masih mencatatkan mangsa banjir ialah Pitas (1,363 mangsa), Paitan (90 mangsa) dan Lahad Datu (43 mangsa).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|