PN adil untuk rakyat? Muhyiddin lupa kesengsaraan rakyat 33 bulan bawah PN – Razeef

PN adil untuk rakyat? Muhyiddin lupa kesengsaraan rakyat 33 bulan bawah PN – Razeef

Kota Kinabalu: Isu melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pandemik COVID-19 sahaja cukup membuktikan Perikatan Nasioanl (PN) tidak adil terutama kepada rakyat marhaen kata Timbalan Ketua Penerangan Keadilan, Razeef Rakimin.

Beliau berkata, begitu juga keistimewaan lain yang diberikan kepada para pemimpin PN tetapi tidak kepada rakyat yang terseksa dikurung dan terikat kerana kegagalan kerajaan PN yang mengambil ringan soal kebajikan rakyat sepanjang pandemik.

Katanya, beliau mengambil maklum kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin di Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) yang mana menurut Muhyiddin, Perikatan Nasional (PN) akan adil untuk rakyat jika mentadbir.

“Apakah yang dimaksudkan dengan ‘adil’ mengikut pemahaman Muhyiddin? Adakah beliau lupa ketika rakyat dikurung bagi mengekang penularan wabak COVID-19, beliau boleh keluar beriadah bermain golf? Adakah ini adil?

“Ini tidak termasuk isu langgar SOP ‘kenduri durian’ Rashid Hasnon, Timbalan Menteri PN bercuti 55 hari ke New Zealand, majlis joget Rina Harun.

“Annuar Musa lawat gerai makanan tanpa memakai pelitup muka dan begitu juga Hamzah Zainuddin, Azmin Ali dan Muhyiddin sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Razeef, begitu juga apa yang dikatakan Muhyiddin sebagai ‘gelombang hijau’.

“Gelombang hijau ini boleh dilihat sebagai kejayaan PAS/PN dalam gerakan propaganda serta fitnah yang dilemparkan kepada Pakatan Harapan sehingga berjaya mempengaruhi segelintir rakyat, terutama fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pilihanraya umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Dan hari ini kita boleh lihat selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, fitnah bahawa Islam dan Melayu akan terancam telah terkubur dengan sendiri melalui tauladan kepimpinan PM Anwar yang membawa aspirasi Malaysia Madani.

“Amat pelik bila Muhyiddin cuba menafikan gelombang yang ditunggang beliau sebelum ini.

“Kita yakin jika sebelum ini kerajaan PN berlaku tidak adil terhadap rakyat ketika mereka mempunyai kuasa penuh walaupun setelah menyekat persidangan parlimen, perkara lebih teruk akan berlaku jika mereka mendapat mandat melalui pilihanraya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, rakyat seharusnya khuatir dengan pelbagai gelombang yang dibawa PN/PAS.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana mereka cuba membawa gelombang ‘Selangor Baharu’ dengan mempersenda dan menghina Sultan Selangor secara terang-terangan di pentas ceramah politik mereka.

“Jika gelombang ini berjaya kita akan berdepan dengan kehancuran sebuah negara Madani,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|