Bayi baru lahir ditemui di tempat pembuangan sampah

Bayi baru lahir ditemui di tempat pembuangan sampah

Lahad Datu: Seorang pemandu lori sampah terkejut apabila menemui satu mayat bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di tempat pembuangan sampah kawasan Fajar di sini pada 11.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dr. Rohan Shah Ahmad dalam satu kenyataan media sebentar tadi memberitahu mayat bayi tersebut ditemui dalam longgokan sampah oleh pemandu lori tempatan berusia 44 tahun yang bekerja dengan syarikat kontraktor pengurusan sampah.

Pihak polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Dr. Rohan memberitahu bayi itu dibalut dengan sehelai baju kemeja perempuan berwarna kelabu dengan corak bergaris.

Sepasukan pegawai polis dari IPD Lahad Datu telah bergegas ke lokasi setelah menerima maklumat dan menjalankan siasatan serta merta seterusnya menghantar mayat bayi itu ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

Mayat bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di tempat pembuangan sampah.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pihak polis sedang berusaha mengesan suspek sebenar dalam kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi talian Hotline IPD Lahad Datu : 089-881255 atau Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Sophia Thomas Kasau 013-9392505.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|