Penjenamaan semula Perintah Berkurung beri perkembangan positif: ESSCOM

Penjenamaan semula Perintah Berkurung beri perkembangan positif: ESSCOM

SEMPORNA: Penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada terma Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) Sabah yang diumumkan pada 18 Oktober lalu, dilihat semakin memberi perkembangan positif kepada keberkesanan koordinasi pelaksanaan operasi keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama-sama pasukan keselamatan di pantai timur negeri ini.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, terma baharu tersebut lebih diterima ramai selain banyak membantu mengubah persepsi masyarakat luar dan pelancong asing untuk mengunjungi pusat-pusat pelancongan di ESS Zone.

Jelasnya, perkembangan itu berdasarkan statistik kemasukan pelancong tempatan dan asing yang mengalami peningkatan signifikan jika dibandingkan dengan tahun lalu.

“Kita amat mengalu-alukan usaha Kerajaan menjenamakan semula terma yang sebelum ini didengari agak keras dan melihat perkara ini sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memperkasa rakyat melalui Ekonomi MADANI.

“Seperti dalam kenyataan-kenyataan saya sebelum ini, saya memahami kegusaran dan kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan masyarakat luar dan pelancong asing berhubung terma PKP ESS Zone Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Perintah Berkurung dan kerap disalah tafsir turut dikuatkuasakan di daratan sedangkan ia hanya berkuat kuasa di perairan,” katanya.

Ulas beliau, pihaknya turut mahu memperbetul persepsi pihak luar terhadap pengoperasian PKP ESS Zone Sabah ini yang dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan perairan yang melebihi jarak tiga (3) batu nautika (5.556 kilometer) ke atas atau membawa ke persempadanan antarabangsa dari pukul 6 petang hingga 6 pagi.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|