99Speedmart tawar Jualan Rahmah Krismas di Sabah

99Speedmart tawar Jualan Rahmah Krismas di Sabah

KOTA KINABALU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup Negeri (KPDN) Sabah melancarkan Jualan Rahmah Krismas, 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn Bhd bertempat di Outlet 99 Speed Mart, 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, hari ini.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan di kesemua 231 cawangan 99Speed Mart di seluruh negeri ini dan dijalankan selama 26 hari bermula esok.

Jelasnya, jualan tersebut melibatkan sebanyak 36 jenis pelbagai produk barangan asas dan perlu seperti beras, tepung, air minuman, serbuk pencuci, minyak masak botol 5kg dan sebagainya yang masing-masing ditawarkan pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga jualan sedia ada.

“KPDN melihat tambahan diskaun di bawah Jualan Rahmah Krismas yang ditawarkan oleh 99 Speed Mart ini sebagai tawaran yang berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Sabah, seiring dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas.

“Seterusnya, Jualan Rahmah ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan untuk menyambut Hari Natal yang bakal tiba,” katanya.

Beliau berkata, KPDN amat berharap usaha seperti ini mampu menarik perhatian pengguna di negeri Sabah, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat untuk mendapatkan barangan dengan harga yang lebih rendah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan produk yang ditawarkan.

“KPDN Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd di atas inisiatif ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Sabah dan berharap lebih banyak pemain industri yang lain akan turut sama melaksanakan inisiatif sedemikian,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|