Pengundi muda jangan salah pilih: Bung

Pengundi muda jangan salah pilih: Bung

Hulu Langat: Dengan baki beberapa jam lagi hari pengundian PRN di enam buah negeri di Semenanjung, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan  pengundi  muda yang bakal melaksanakan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tidak tersalah pilih untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

Katanya , jika rakyat khususnya kalangan generasi muda  mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan mahu berkhidmat demi kebajikan mereka maka pilihlah parti yang benar-benar mampu memperjuangankan masa depan mereka .

“Kalau kita nak kerajaan stabil maka pilihlah parti yang benar-benar nak berkhidmat untuk rakyat. PRN ini  kali ini penting bagi menentukan Kerajaan negeri yang perlu seiring dengan Kerajaan pusat agar segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan sepenuhnya” katanya ketika berucap di majlis ceramah perdana di DUN Dusun Tua malam semalam.

Hadir sama calon BN N.23 Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz, Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh  Said dan Ketua Umno bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Datuk Ali Hassan. Kerusi N 23 Dusun Tua menyaksikan perlawanan tiga penjuru iaitu  Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional (BN), Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Azhar Hambali.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, pelaksanaan undi 18 turut memberikan ruang kepada anak muda bagi menentukan masa depan negara justeru pengundi muda hendaklah menggunakan amanah dan kepercayaan tersebut sebaik mungkin,  mengundi  tidak mengikut emosi dan perasaan, tetapi sebaliknya menggunakan rasional dan ilmu kefahaman dengan memilih sebuah kerajaan yang kuat serta stabil.

Sementara itu ketika menghadiri dan berucap di Majlis Himpunan Anak Muda di DUN Batang Kali beliau  turut meningatkan anak muda agar memilih gabungan yang terdiri daripada parti dominan bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang  stabil.

Katanya selari dengan jajaran politik baharu tidak ada sebuah parti yang dominan untuk membentuk  negara, justeru pembentukan kerajaan perpaduan merupakan jalan terbaik  untuk menjaga kestabilan politik agar proses pembangunan untuk kepentingan dan kesejehteraan rakyat dapat diteruskan.

“Saya ingin mengingatkan para pengundi (khususnya pengundi muda )supaya tidak mengulangi kesilapan pada 2018 (pada PRU yang lepas) iaitu rakyat memilih kerajaan yang tiada satu pun parti dominan dan ini sangat bahaya pada kestabilan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru golongan anak muda membuat penilaian yang bijaksana, tepat dan sebaiknya dalam menentukan bagaimana mereka mahu mencorakkan masa depan negara menerusi kuasa undi yang dimilikinya. “ PRN kali ini amat penting untuk kita memilih kerajaan negeri yang stabil,anak-anak muda perlu membuat keputusan dengan bijaksana untuk memastikan masa depan anda terjamin kerana anda yang akan menentukan masa depan masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|