Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengadakan kerjasama dalam meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan bekalan beras putih tempatan dan import.
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerjasama melalui pelaksanaan kolaborasi bersepadu OPS JAMIN bermula 7 Julai lalu itu adalah bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) yang mencukupi dengan harga yang stabil dan terkawal.
Beliau berkata, kerjasama strategik serta perkongsian informasi antara KPKM dan KPDN ini dilihat dapat menjadi satu medium dalam mengukuhkan lagi jalinan kerjasama sedia ada antara kementerian serta agensi di peringkat pusat dan negeri melibatkan pemeriksaan di peringkat pengilang padi beras, pemborong dan peruncit sama ada di pasaraya atau kedai runcit di seluruh negara.
“Pihak KPDN ingin memberikan maklum balas berhubung video yang tular melibatkan dakwaan penipuan atau penyelewengan pembungkusan beras putih tempatan dan beras putih import di mana Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] adalah di bawah KPKM.
“Walau bagaimanapun, KPDN dan KPKM telah bekerjasama melalui pelaksanaan kolaborasi bersepadu OPS JAMIN bermula 7 Julai 2023 yang bertujuan bagi meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara.
“Pemeriksaan ini bagi memastikan keterjaminan bekalan dan harga beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) sentiasa mencukupi dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, OPS Jamin yang bermula 7 Julai hingga setakat 10 Ogos lalu telah menyaksikan sebanyak 925 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat pengedaran termasuklah di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit, manakala sebanyak 38 aduan telah diterima dalam tempoh sama.
“KPDN akan mengambil tindakan undang-undang tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730).
“Kita juga dalam masa yang sama ingin menasihati pengguna media sosial agar mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih. Kementerian mengalu-alukan sebarang maklumat dan mengambil perhatian serius terhadap sebarang aduan yang melibatkan kesalahan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa serta akan membuat siasatan terperinci,” katanya.
-Deasoka