Pendirian KDM kekal – Peter

Pendirian KDM kekal – Peter

Penampang: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony berkata, parti itu kekal dengan pendirian mereka bahawa Hajiji Noor tidak mempunyai kelayakan dari segi perlembagaan untuk kekal sebagai ketua menteri.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab KDM menerusi tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka untuk mempertahankan dan menegakkan perlembagaan negeri ini.

“Kita kekal dengan pendirian bahawa apa yang kita maklumkan dalam kenyataan baru-baru ini, perlembagaan negeri Sabah perlu dipatuhi dan sebagai ADUN dipilih rakyat yang merupakan penggubal dasar di peringkat kerajaan negeri, kita mesti tegakkan perlembagaan.

“Kita maklum kedudukan ketua menteri ketika ini bercanggah dengan perlembagaan apabila tidak mempunyai parti dan bukan ketua parti.

“GRS (Gabungan Rakyat Sabah) tidak bertanding pada PRN (Pilihan RayaNegeri), hanya PRU (Pilihan Raya Umum) baru-baru ini, jadi kita ambil ketetapan (kekal dengan pendirian) dan kita serahkan kepada kebijaksanaan TYT (Yang di-Pertua Negeri) untuk buat keputusan selanjutnya,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan tertinggi KDM, di sini, hari ini.

Peter yang juga ADUN Melalap berkata, tindakan dibuat pihaknya bukanlah untuk merancang perebutan kuasa sebaliknya hanya mahu mempertahankan perlembagaan.

Katanya, parti itu juga akan akur dengan sebarang keputusan yang akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan datang ke Sabah untuk berjumpa dengan ketua-ketua parti bagi menyelesaikan kemelut serta masalah politik yang hingga kini masih belum reda.

“Kita harap akan ada satu ketetapan agar kestabilan politik berlaku selepas ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|