Shahelmey nafi 5 ADUN UMNO bakal tubuh parti baharu

Shahelmey nafi 5 ADUN UMNO bakal tubuh parti baharu

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyangkal dakwaan kesediaan pihaknya menubuhkan parti baharu seperti yang disiarkan di dalam beberapa laporan media arus perdana hari ini.

Sambil menyifatkan laporan atau siaran yang dikeluarkan itu adalah ditokok tambah, beliau berkata, ia dikeluarkan tanpa pengetahuannya dan juga empat ADUN BN yang lain.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya laporan ini dan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan merujuk kepada penubuhan parti baharu atau berkaitan dengannya.

“Kenyataan ini disiarkan tanpa pengetahuan kami (lima ADUN UMNO) dan ia juga dilihat berniat jahat.

“Seperti mana kami tegaskan sebelum ini, kami lima ADUN UMNO telah menetapkan pendirian untuk tidak menyokong perbuatan menjatuhkan kerajaan sedia ada dan bersedia menghadapi apa juga tindakan daripada parti,” katanya.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata demikian ketika mengulas laporan dikeluarkan oleh beberapa media arus perdana yang menyiarkan lima ADUN UMNO akan menubuhkan parti baharu selepas enggan tunduk kemahuan pucuk pimpinan BN negeri yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sebelum ini, selain Shahelmey, empat lagi ADUN UMNO/BN Sabah yakni Datuk Dr Yusuf Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut) bertindak tidak menuruti kehendak pimpinan BN Sabah.

Kelima-lima ADUN itu turut memberi sokongan penuh kepada Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|