Pembukaan McDonald’s Jalan Sulaman, mampu rancakkan ekonomi setempat: Hajiji

Pembukaan McDonald’s Jalan Sulaman, mampu rancakkan ekonomi setempat: Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menyambut baik usahasama antara syarikat-syarikat franchise membuka sektor peniagaan mereka untuk memajukan lagi ekonomi setempat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan adanya inisiatif berkenaan dan kesediaan kerajaan mengadakan usahasama, maka kerancakan pembangunan ekonomi mampu dijalankan.

Mengambil contoh pembukaan restoran McDonald’s Pandu-Lalu Jalan Sulaman 2, hari ini, ulasnya ia merupakan salah satu pendekatan positif pihak syarikat franchise dalam meneroka manfaat ekonomi yang boleh disalurkan kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan usahasama antara syarikat-syarikat franchise dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi menerokai potensi perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negeri ini”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan franchise terbaru restoran terkemuka dunia itu di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, pihaknya menyambut baik rancangan McDonald’s mewujudkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu di KKIP dan membuka lebih banyak restorannya di Sabah kerana ia bukan sahaja dapat membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi, malah turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Terdahulu, dalam masa yang sama, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) diantara McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) untuk membangunkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu yang lengkap untuk syarikat khidmat segera itu di Malaysia Timur.

“Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan usahasama antara syarikat-syarikat franchise dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi menerokai potensi perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negeri ini”…Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.


MOU itu merupakan jalinan kerjasama yang akan menyaksikan pemerolehan empat ekar tanah di kawasan milik KKIP bagi pembinaan hab pembekalan makanan itu.


Hab ini akan melibatkan tiga pembekal utama McDonald’s Malaysia iaitu Bimbo QSR, Tyson Foods dan HAVI Logistics yang akan mendirikan kilang, gudang dan pusat penghantaran.


Menandatangani MOU itu bagi pihak McDonald’s ialah Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, KKIP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Laurence Kimkuan, Bimbo QSR diwakili oleh Naib Presiden Transformasi Global, Natasha Galavotti, Tyson Foods diwakili oleh Naib Presiden, Unit Perniagaan Malaysia, Victor Sim dan HAVI Logistics Malaysia diwakili oleh Timbalan Pengurus Besarnya, Dominic Alexander Lopez.


Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah.


Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Phoong Jin Zhe yang juga Pengerusi KKIP, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.


-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|