Pembedahan Klef terbesar di Malaysia diadakan di Lahad Datu

Pembedahan Klef terbesar di Malaysia diadakan di Lahad Datu

Lahad Datu: Satu program pembedahan klef atau sumbing secara besar-besaran iaitu Grand Smile Operation Initiative (GSOI) akan diadakan di Hospital Lahad Datu selama dua minggu bermula esok.

Ia julung kali dibuat dalam skala besar di negara ini melibatkan gabungan 18 orang doktor pakar pelbagai jabatan dari seluruh negara yang diketuai oleh Dr Rubinderan A/L Muthusamy.

Program pembedahan itu mensasarkan 58 orang pesakit klef untuk dibedah dalam tempoh dua minggu yang terdiri daripada bayi berusia tiga bulan hingga kanak-kanak berusia empat tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata akibat pandemik Covid-19 banyak pembedahan terpaksa ditangguh bukan sahaja untuk kes klef namun bagi kes lain seperti katarak mata.

“Program pembedahan ini untuk memberi harapan baharu kepada kanak-kanak terutamanya yang mempunyai kecacatan fizikal apabila lahir. Kecacatan ini dapat diubati melalui proses pembedahan elektif.

“Saya berharap agar usaha ini dapat diulang secara konsisten di bawah program Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya juga menyeru syarikat-syarikat dan juga NGO-NGO yang mempunyai kewangan dapat memberi sumbangan termasuk aset-aset yang diperlukan untuk menjayakan program seumpama ini,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, di sini, hari ini.

Katanya, klef atau sumbing boleh dikesan sejak lahir dan lebih mudah dirawat bagi tempoh tersebut sehingga usia kanak-kanak.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin; Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian Malaysia, Dr Noormi Othman dan Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr Mohd Andi Shamsureezal Mohd Sainal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|