Pembayaran BKKA diawalkan ke 14 April ini

Pembayaran BKKA diawalkan ke 14 April ini

Putrajaya: Kerajaan telah memutuskan agar tarikh pembayaran Bayaran Bantuan Khas Aidilfitri (BKKA) diawalkan pada minggu ini, iaitu selewat-lewatnya 14 April.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu diambil bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Ini akan manfaat hampir satu juta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform (Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis).

“Kerajaan juga telah memutuskan bayaran BKKA kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk pegawai/kakitangan lantikan kontrak, akan dibuat bersama dengan bayaran emolumen bulan April dan diawalkan ke 14 April daripada 17 April.

“Bayaran BKKA untuk pesara juga akan diawalkan ke 14 April ini,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) telah diawalkan mulai 5 April 2023 bagi meringankan beban sara hidup rakyat menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM1.26 bilion yang memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima daripada golongan B40.

“Saya turut serta turun padang hari ini bagi melihat proses penunaian STR2 di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Meru Raya.

“Alhamdulillah, proses dimudahkan dengan pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank penerima.

“Manakala penerima yang tiada akaun boleh membuat penunaian di semua cawangan BSN,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|