Kota Kinabalu: Semua pihak terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah antara entiti yang berkemampuan dan boleh memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak di negeri ini.
Sukar dinafikan, usaha pembangunan sukan sentiasa memerlukan dana yang besar bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu berkualiti untuk masa depan sukan bola sepak.

Timbalan Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Juhari Janan berkata, menyedari keperluan itu, pihaknya sentiasa bekerjasama dan membantu termasuk aspek kewangan bagi memastikan proses pembangunan bola sepak di negeri ini berjalan lancar.
Katanya, bola sepak bukan saja sukan yang perlu diperkembangkan di peringkat akar umbi tetapi juga memerlukan pelan pembangunan berterusan.
“Menerusi perancangan yang baik, sudah pasti ramai bakat baharu yang berpotensi dapat dilahirkan dan seterusnya membawa manfaat kepada negeri dan negara.
“Kita sentiasa menyokong usaha Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) termasuk menghulurkan sumbangan kewangan untuk beberapa kejohanan dan program dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa SAFA bersama pelajar Tahfiz Sulaimaniyyah Aminuddin Papar, di sini, semalam.
Pada majlis berbuka puasa berkenaan, seramai 20 pelajar tahfiz yang diraikan menerima sumbangan sejadah, kuih raya dan kurma daripada SAFA.
Juhari berkata, Sabah mempunyai ramai pemain anak muda yang berkualiti namun bakat itu perlu terus digilap dari semasa ke semasa.
Namun katanya, ia bagi memastikan mereka mampu berdaya saing bukan saja di kejohanan kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Turut hadir Penolong Setiausaha Agung, Azman Mastar; Setiausaha Eksekutif, David Wisom dan Pengarah Teknikal, Omar Maya Amat.
-Deasoka