Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memantau gangguan bekalan yang berlaku di beberapa daerah di negeri ini.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset), Ir. Idris Mohd Noor berkata, usaha sedang giat dilaksanakan oleh pasukan teknikal SESB untuk memulihkan bekalan secara berperingkat.

“Beberapa kawasan di negeri ini mengalami gangguan bekalan elektrik pada hari ini (Rabu), bermula pukul 10:30 pagi disebabkan oleh Tarbin Penjana Tenaga Bebas yang terpelantik akibat masalah teknikal.
“Bagi menstabilkan frekuensi grid di Grid Sabah, mekanisme Skim Perlucutan Beban Automatirik (Under Frequency Load Shedding-UFLS) telah diaktifkan bagi mengelakkan sistem grid daripada lumpuh sepenuhnya.
“Sistem telah mengalami lucutan beban sehingga 55MW dan untuk memastikan kestabilan grid, SESB terpaksa melaksanakan catuan bekalan bagi menangani permintaan beban di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, bekalan sedang dipulihkan secara berperingkat dan SESB akan terus memantau keadaan yang dijangka akan kembali normal sepenuhnya pada malam ini.
“Pemulihan bekalan dilaksanakan secara berperingkat dan SESB memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna,” katanya.
Pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Careline SESB 15454, 088515000 atau melalui Whatsapp 0198525427, SESB Careline Facebook, SESB Twitter untuk sebarang pertanyaan.
-Deasoka