Pelancong Taiwan parah dirempuh ketika melintas

Pelancong Taiwan parah dirempuh ketika melintas

Kota Kinabalu: Seorang pelancong wanita warga Taiwan parah dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Mat Salleh, berdekatan stesen minyak Tanjung Aru, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.25 petang itu, mangsa berusia 30 tahun yang parah pendarahan dalam kepala dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Myvi wanita berusia 49 tahun dari tempat kerja di Plaza Tanjung Aru menuju ke rumahnya di Petagas.

Katanya, ketika bergerak melepasi Bulatan Tanjung Aru dan memandu di lorong kiri jalan berdekatan stesen minyak, seorang pejalan kaki wanita secara mengejut berlari dari kanan ke kiri jalan.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu sempat menekan brek namun terlanggar juga pejalan kaki terbabit.

“Akibat daripada kemalangan itu, pejalan kaki warga Taiwan mengalami parah di kepala dan dihantar ke Jabatan Kecemasan HQE I oleh ambulans yang datang ke lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa masih menerima rawatan di ICU HQE I.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|