Polis siasat insiden gaduh selepas kereta berlanggar di Tuaran

Polis siasat insiden gaduh selepas kereta berlanggar di Tuaran

Tuaran: Polis sedang menjalankan siasatan video tular berhubung insiden pergaduhan beberapa individu membabitkan kemalangan dua kenderaan di Jalan Berungis berhampiran persimpangan Hospital Tuaran, di sini, hari ini.

Rakaman video berdurasi 20 saat itu yang tular sejak petang tadi menunjukkan kereta jenis Myvi bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis Perodua Bezza.

Perodua Myvi berkenaan dilihat berundur sebelum seorang lelaki keluar dari kereta Perodua Bezza sambil membawa pemotong besi.

Tindakan pemandu Perodua Myvi cuba merempuh namun lelaki itu berjaya mengelak dan Perodua Myvi itu terus meninggalkan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya mengesahkan menerima satu laporan polis hari ini daripada pengadu yang merupakan pemandu salah sebuah kereta berkenaan mengenai insiden yang berlaku.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian.

“Polis juga sedang mengesan suspek-suspek yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, polis menyeru supaya orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil untuk membantu siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis yang berhampiran bagi menyalurkan maklumat dan membantu siasatan.

“Orang awam juga diminta supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi berkenaan video tular dan kejadian ini.

“Ini supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu dan tidak benar serta tidak mengganggu siasatan yang dijalankan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|